slide 1

Sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri

slide 2

Kursus Perakaunan Perniagaan MARA di Mayang Sari Resort, Port Dickson

slide 3

Sekitar majlis Pemimpin bertemu rakyat

slide 4

Fiesta Usahawan Jempol dan Pelancaran UK-Dinamik Peringkat N. Sembilan

slide 5

Kunjung Hormat ke Pejabat Dato' Hj. Halim (YDP MPS)

BINA JENAMA ANDA BERSAMA KAMI
AHLI PERSATUAN PPPKMNS-CAW.SEREMBAN SELATAN BOLEH MENGIKLANKAN PERNIAGAAN MEREKA SECARA PERCUMA DI LAMAN BLOG PERSATUAN. HUBUNGI ADMIN BLOG SDR TAJOL ARIFFIN ATAU TN HJ. ZUBIR
NOTIS MAKLUMAN
SEMUA YDP-YDP DAN SETIAUSAHA-SETIAUSAHA CAWANGAN DIKEHENDAKI MENGHANTAR SESALINAN SENARAI AHLI-AHLI CAWANGAN MASING-MASING KEPADA SETIAUSAHA NEGERI SEBERAPA SEGERA SEBELUM PANGGILAN MESYUARAT TAHUNAN SERENTAK ANTARA CAWANGAN DIBUAT. TERIMA KASIH

Jumaat, 18 November 2011

DI MANA PERANAN GABUNGAN PPPKM SEBENAR

DI MANA peranan Gabungan Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Malaysia selama ini boleh dipersoalkan. Apakah mereka berada di zon selesa atau sememangnya sudah ada perancangan sistematik lagi konkrit bagi menangani masalah longgokan peniaga-peniaga asing sama ada di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Shah Alam mahupun di mana-mana pasar malam yang berselerak di serata negara. Mungkin kita juga boleh menyalahkan rakyat kita sendiri yang suka mencari jalan pintas - mahu kaya cepat dan duduk senang di rumah dengan cara mengalibabakan premis perniagaan mereka kepada warga asing.

Mari kita tinjau dan analisis surat terbuka pendapat anak muda terhadap fenomena ini.

JANGAN BIAR WARGA ASING KUASAI PERNIAGAAN DI KL
Laporan akhbar mengenai longgokan pendatang asing menjadi peniaga di Kuala Lumpur baru-baru ini menarik minat saya memberi sedikit ulasan. Sebagai generasi muda, saya kecewa dengan senario ini kerana tidak ada pihak yang memandang serius mengenainya. Saya sebagai bakal graduan amat malu kerana pihak berwajib hanya membiarkan perkara itu berlarutan sehingga menjejaskan mata pencarian anak Malaysia. Bukan sahaja Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malahan kawasan Jalan Chow Kit juga menjadi tumpuan warga Indonesia sehingga saya merasakan berada di luar negara.

Kita kena tegakkan nasib kaum bumiputera di Malaysia. Jangan kerana dek rasuah habis negara tergadai. Peniaga dari Pakistan dan negara-negara lain dikatakan mempunyai sejumlah wang modal yang besar dan tidak hairanlah jika ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab meminta duit daripada warga asing ini sebagai perlindungan. Mungkin disebabkan terlalu asyik meminta 'duit kopi' sehingga pihak tertentu ini tidak sedar yang perniagaan di Jalan TAR sudah dimonopoli warga asing. Jalan TAR hanya tinggal nama sahaja. Tetapi sayang, generasi kini telah 'menggadaikannya' dan membiarkan jalan ini dijajah.

Seperti yang kita sedia maklum , berniaga merupakan salah satu cara untuk menaikkan taraf ekonomi seseorang, juga merapatkan jurang ekonomi serta menaikkan taraf hidup sesebuah keluarga. Tetapi adakah masih ada peluang dan masihkan relevan untuk bumiputera berniaga dalam kalangan warga asing?

Sekiranya anda pernah ke Plaza Low Yat untuk membeli komputer riba, pasti anda juga perasan kehadiran warga Pakistan yang memonopoli bisnes ini. Paling menyedihkan saya apabila rakyat Malaysia menjadi pekerja kepada warga Pakistan. Fakta ini bukan sahaja menyedihkan tapi amat memalukan.

Isu monopoli oleh warga asing ini bukan hanya tertumpu di Jalan TAR, tetapi di seluruh negara. Malaysia adalah untuk rakyat Malaysia, hak atas semua aktiviti ekonomi adalah untuk rakyat. Jangan menganaktirikan bumiputera di tempat lahir mereka sendiri.
- Generasi Muda, Kuala Lumpur.

Gabungan PPPKM harus mencari jalan terbaik menangani perkara tersebut. Sekiranya dibiarkan berlarutan bandar-bandar besar akan dimonopoli oleh golongan ini. Gabungan seharusnya turun padang dan lihat sendiri senario yang memalukan ini serta mengambil langkah untuk mengekang masalah ini agar persaingan ekonomi yang sihat dalam kalangan kaum bumiputera dapat diwujudkan.

Jumaat, 11 November 2011

SISTEM PENGURUSAN BERKOMPUTER MUDAHKAN REKOD KOPERASI DISENGGARA

LEBIH 7,000 koperasi yang bergabung di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan menggunakan Sistem Pengurusan Berkomputer Angkasa (SPBA) yang membolehkan semua urusan dilakukan secara dalam talian. Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, SPBA diwujudkan untuk memastikan rekod-rekod dan sistem perakaunan koperasi disenggara dengan mudah, betul dan mesyuarat agung tahunan dijalankan dengan sempurna. "Kita berharap koperasi dapat berdikari dalam menyenggara rekod-rekod perakaunan di samping menyediakan penyata kewangan sendiri." katanya.

Sehingga kini, jelasnya, sebanyak 916 koperasi telah diberi perkhidmatan pra audit dan 2,420 penyata kewangan disediakan. Beliau berkata, jumlah itu termasuk 151 buah koperasi yang dibantu melalui program khas akaun tertunggak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). "Banyak manfaat dinikmati oleh koperasi-koperasi termasuk dapat membentangkan penyata kewngan yang lengkap dan terkini dalam tempoh yang ditetapkan Akta Koperasi 1993," ujarnya lagi.

Abdul Fattah berkata, untuk mencapai matlamat tersebut, Angkasa telah membeli perisian bernilai RM 775,000 dari syarikat PrettMind Sdn. Bhd. dengan tempoh penambahbaikan selama dua tahun. Jelasnya, SPBA mempunyai modul bersepadu iaitu Sistem Maklumat Keanggotaan, Rekod Asas Perakaunan, Sistem Peruncitan (POS), Sistem Penggajian (Payrol) dan Sistem Pendaftaran Mesyuarat Agung. "SPBA mempunyai ciri-ciri istimewa iaitu lebih tahan daripada serangan virus, laporan menarik dan mudah, kemasukan rekod dipercepatkan di samping mesra pengguna.

Katanya, untuk penambahbaikan SPBA, Angkasa merancang menambah maklumat untuk keggunaan koperasi kariah masjid iaitu mengenai isi keluarga dan kedudukan asnaf bagi kemudahan agihan bantuan kebajikan, zakat dan sebagainya. - Utusan Malaysia.


Datuk Abdul Fatah


Jumaat, 4 November 2011

PKNNS ANJUR SEMINAR USAHAWAN

Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) akan menganjurkan Seminar Usahawan Projek Mutiara Negeri Sembilan 2011/2012 pada ketetapan berikut:
  • Tarikh: 17 November 2011 (Khamis)
  • Masa: 7.30 pagi hingga 6.30 petang
  • Tempat: Dewan Serbaguna MPS, Seremban
Majlis perasmian akan dilakukan oleh YAB Dato' Seri Utama Hj Mohamad Bin Hj Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Penyertaan percuma. Semua ahli PPPKMN9 dijemput hadir.

Selain itu, PKNNS juga mengadakan Showcase SDSI ( 1 Daerah 1 Industri), peringkat Negeri Sembilan pada 2 hingga 11 Disember 2011 akan datang bertempat D'S2 Mall Seremban 2. Manakala Karnival Buku sudah pun bermula sejak 6 Oktober lagi sehingga Disember 2011 di tempat yang sama.

Rabu, 2 November 2011

FORMULA ASAS KEBERKESANAN SESEBUAH KOPERASI


Empat matlamat yang menjadi kayu ukur untuk menilai keberkesanan sesebuah koperasi iaitu :


•Perhubungan dengan ahli sebagai pemilik
(Linkage to member owners)
Koperator perlu jelas tentang siapa yang perlu diberi per-khidmatan (masa sekarang dan akan datang), apa keperluan yang ingin mereka peroleh melalui koperasi dan menetapkan cara bagaimana laporan disampaikan kepada anggota mengenai pencapaian di dalam memenuhi keperluan-keperluan tersebut.

•Dasar-dasar (Policies)
Dasar-dasar yang diwujudkan hendaklah dengan jelas menentukan hala tuju koperasi. Keputusan-keputusan dibuat oleh ALK hendaklah dinyatakan sebagai satu suara; suata Lembaga.

•Jaminan pencapaian (Assurance of performance)
Sistem pemantauan dengan jadual dan peraturannya yang lengkap perlu diwujudkan bagi memastikan keputusan dan dasar yang ditetapkan dilaksanakan dengan tepat.

•Jaminan kesinambungan organisasi (Assurance of perpetuity)

Perlu ada keselamatan atau keteguhan sumber kewangan, kesinambungan pengurusan (yang kompeten) serta kesinambungan kepimpinan (dengan memastikan calon-calon pengganti yang berkelayakan dan dasar-dasar yang menyeluruh diwujudkan). Kerana pencapaian matlamat-matlamat tersebut pula sangat bergantung kepada tadbir urus di dalam koperasi.

Saya memilih untuk menarik perhatian koperator-koperator kepada kaedah pengukuran tahap tadbir urus dalam koperasi. Soal menentukan tanda aras (benchmarking) dalam koperasi pada masa itu bukanlah sesuatu yang baru. Koperasi yang berhasrat untuk kekal dalam pasaran perlu meletakkan diri mereka setara, walaupun tidak lebih ke hadapan daripada pesaing-pesaing khususnya daripada syarikat-syarikat swasta.

Petunjuk-petunjuk berikut bolehlah dijadikan garis panduan :

•Tahap kesedaran Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan anggota mengenai prinsip koperasi serta nilai-nilai asas dalam falsafah koperasi.

•Tahap kefahaman ALK dan anggota mengenai elemen moral dan etika yang merupakan komponen penting dalam keseluruhan falsafah koperasi.

•Kefahaman tentang perbezaan di antara perusahaan atau perniagaan koperasi dan swasta serta awam.

•Kesedaran ALK tentang hak dan tanggungjawab mereka.

•Sejauh mana ALK sedar bahawa mereka bertanggungjawab dan terpaksa berhadapan dengan anggota-anggota yang melantik mereka.

•Setakat mana kuasa-kuasa mengurus diperturunkan kepada kakitangan pengurusan.
•Sama ada kod etika disediakan dan diterima pakai disemua peringkat dalam organisasi dan gabungannya.

•Tahap ketelusan dalam urusan dengan pelanggan dan kakitangan.

•Kelancaran saluran komunikasi antara koperasi dengan anggota-anggota, pelanggan-pelanggan dan rakan urusniaganya.

•Kewujudan satu disiplin berkaitan penggunaan aset-aset dalam organisasi.

•Kekerapan bermesyuarat berdasarkan kehendak undang-undang dan peraturan.

•Kepatuhan kepada kerajaan tanpa menjejaskan otonomi dan kebebasan bertindak sebagai koperasi.

Antara petunjuk-petunjuk tersebut, perkara yang diperhatikan agak sukar untuk dilakukan dengan tepat oleh sesetengah koperasi ialah mengasingkan tugas-tugas ALK dan Pengurusan (Pengurus). Pada umumnya kebertanggungjawaban kepada anggota terletak di bahu ALK yang boleh, mengikut budibicara mereka, menurunkan beberapa kuasa tertentu kepada Pengurus sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang. Pengurus sebaliknya bertanggungjawab kepada ALK dan melakukan tugas dalam lingkungan kuasa yang diberikan oleh ALK itu.

Sebagai garis panduan, pembahagian-pembahagian berikut yang merupakan amalan di dalam ANGKASA bolehlah dipertimbangkan.

Kuasa ALK semata-mata :

•Menentukan objektif, dasar dan matlamat koperasi.

•Komitmen kewangan jangka panjang termasuk sumber dan jenis pembiayaan.

•Perlantikan dan pemantau tugas-tugas Pengurus dan kakitangan.

•Pengisian kekosongan ALK.

•Perubahan asas dalam struktur kewangan.

•Kelulusan rancangan dan komitmen penting/utama.

•Perkara-perkara yang memerlukan kelulusan anggota.

•Pemilihan bank, Juruaudit Luar, Peguam, syarikat insurans dan lain-lain entiti berkaitan, tertakluk kepada persetujuan Mesyuarat Agung.

•Menentukan skim perkhidmatan pekerja.

Kuasa Pengurus :
•Menentukan objektif, matlamat dan dasar operasi atau engurusan.

•Komitmen sumber jangka pendek. l Penyediaan bajet, pelan pengeluaran, pemasaran dan lain-lain untuk kelulusan ALK.

•Mencadangkan perlantikan dan mengatur pembahagian tugas-tugas kakitangan bawahan.

•Pentadbiran skim perkhidmatan kakitangan.

Pembahagian-pembahagian di atas tidaklah bersifat konklusif. Koperasi-koperasi mempunyai Undang-Undang Kecil masing-masing yang hendaklah pada setiap masa menjadi garis panduan utama dalam pengurusan di samping berpegang kepada empat komponen tunjang dalam tadbir urus, iaitu kebertanggungjawaban (accountability), ketelusan (transparency), kebolehjangkaan (predictability) dan penyertaan (participation).

Hakikatnya, kita perlu sentiasa sedar bahawa Pengurus yang baik memerlukan ALK yang baik. Walaupun mungkin mudah untuk koperasi bergerak (berjaya) jika ia mempunyai kakitangan pengurusan yang baik dan ALK yang lemah berbanding sebaliknya, tetapi akhirnya Pengurus terbaik pun akan gagal jika tiada sokongan ALK.

Perbezaan sifat nyata di antara ALK selaku penentu dasar (ekonomi, sosial dan budaya) sesebuah koperasi dan Pengurus sebagai pelaksana perlulah jelas dalam minda semua koperator dan anggota masyarakat yang mendokong koperasi.

(Kredit untuk :Nasir Khan Yahya)

Selasa, 1 November 2011

GABEM ANJUR FORUM "MELAYU DAN KEUSAHAWANAN"


Pengerusi Eksekutif PKNNS, Dato' Yusof Yunus selaku ahli panel ketiga membentangkan kertas kerjanya bertajuk " Peluang-peluang di PKNNS".
 
 

YB Dato' Yunus Rahmat terpaksa duduk bersama audiens mendengar forum sedang berlangsung.

RATA-RATA ahli panel membuatkan audiens terkesima bila memperkatakan tentang Melayu dalam dunia perniagaan. Kata mereka orang Melayu belum pandai 'senyum' malah bersifat segan silu bila berdepan pelanggan mereka. Walhal orang Melayu adalah dulunya pelaut, ini bermakna mereka tergolong orang pedagang. Pernah berniaga apatah lagi mengembara sampai ke lautan teduh.

Sesekali barulah hadirin memecah kesunyian; "ya betul, betul" bila tiba ahli panel membentang fakta dan angka untuk menerangkan sejelas-jelasnya kedudukan usahawan Melayu yang sudah mula mencapai tahap membanggakan dalam dunia bisnes.
Senario ini memperlihatkan betapa terkesan dalam jiwa audiens bila forum anjuran GABEM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) dan Perkasa yang berlangsung di Dewan Seri Minang, Pejabat Risda Negeri pada 29 Oktober 2011 lalu, yang dibentang oleh empat ahli panel berwibawa.

Ahli-ahli panel terdiri daripada:

1. Tuan Haji Sahlan bin Sarudin, Pengurus Besar GABEM Ventures yang membentangkan kertas kerja bertajuk - Patriotisme Ekonomi Bumiputera.

2. Puan Rahmah Jaafar (SME Bank) - Dana-dana Pembiayaan.

3. Y.Bhg. Dato' Hj Mohd Yusof Yunus, Ketua Eksekutif PKNNS - Peluang-peluang di PKNNS.

4. Y.Bhg. Dr. Wan Sabri Wan Hasssan, Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar, Kolej Poly-Tech Mara - Pencapaian Usahawan Melayu.

Sementara itu forum dikendalikan dengan baik oleh moderator Profesor Emeritus Dato' Dr. Abd. Samad Abd. Hadi.

Majlis forum agak lewat dimulakan kerana kehadiran peserta masih kurang seperti jadual asal iaitu pukul 9.00 pagi. Walau bagaimanapun forum diteruskan juga sehinggalah audiens memenuhi ruang dewan.

Yang Berhormat Dato' Hj Yunus Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Pengerusi GABEM Negeri Sembilan menepati janjinya bila tiba di Dewan Seri Minang tepat pukul 11.00 pagi untuk merasmikan upacara penutup. Tetapi Yang Berhormat terpaksa duduk dulu bersama audiens kerana forum masih berlangsung, ditambah lagi dengan masa soal jawab forum.

Antara objektif utama forum ini diadakan ialah:

  1. Menanam semangat keusahawan kepada para usahawan selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
  2. Membuka minda para peserta agar dapat memainkan peranan secara lebih aktif dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi Melayu.
  3. Memberi penerangan dan penjelasan berkenaan dana-dana perniagaan.

Usai majlis penutup, penyampaian cenderamata dilakukan oleh Dato' Mohd Yusof Yunus, Ketua Eksekutif PKNNS kepada ahli-ahli panel dan juga untuk YB Dato' Yunus Rahmat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
*
*
*
*
*
contact form faq verification image

PPPKMNS form generated by Tajol Ariffin