BINA JENAMA ANDA BERSAMA KAMI
AHLI PERSATUAN PPPKMNS-CAW.SEREMBAN SELATAN BOLEH MENGIKLANKAN PERNIAGAAN MEREKA SECARA PERCUMA DI LAMAN BLOG PERSATUAN. HUBUNGI ADMIN BLOG SDR TAJOL ARIFFIN ATAU TN HJ. ZUBIR
NOTIS MAKLUMAN
SEMUA YDP-YDP DAN SETIAUSAHA-SETIAUSAHA CAWANGAN DIKEHENDAKI MENGHANTAR SESALINAN SENARAI AHLI-AHLI CAWANGAN MASING-MASING KEPADA SETIAUSAHA NEGERI SEBERAPA SEGERA SEBELUM PANGGILAN MESYUARAT TAHUNAN SERENTAK ANTARA CAWANGAN DIBUAT. TERIMA KASIH

PERLEMBAGAAN PPPKMNS



PERSATUAN PENJAJA-PENJAJA DAN PENIAGA-PENIAGA KECIL MELAYU NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

FASAL – 1.     Nama ,Alamat Pos dan Tempat Mesyuarat

1.1.        Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga - Peniaga Kecil Melayu Negeri Sembilan.

1.2.     Ibu Pejabat Persatuan ini ditetapkan di No, 2-08 Plaza  Seremban Bangunan MARA Negeri Sembilan, Jalan Dato’ Muda Linggi, 70100 Seremban Negeri Sembilan Darul Khusus.Tempat mesyuarat ditetapkan di No, 2-08 Plaza  Seremban Bangunan MARA Negeri Sembilan, Jalan Dato’ Muda Linggi, 70100 Seremban, dan Dewan Banaran Seremban Tempat– tempat ini boleh di pindahkan dari semasa ke semasa dengan persetujuan ahli-ahli jawatankuasa pusat serta mendapat kebenaran daripada Pendaftar Pertubuhan terlebih terdahulu.

FASAL – 2.     Tujuan-Tujuan dan Maksud-Maksud

2.1.      Menyatupadukan serta mengukuhkan tali muhibah serta bersama-sama penjaja-penjaja dan peniaga-peniaga kecil dan tuan-tuan punya syarikat-syarikat kecil dari orang-orang yang berketurunan Melayu serta mengukuhkan lagi semangat kerjasama untuk meninggikan taraf perniagaan sesama ahli.
2.2.     Tolong-menolong dalam segala lapangan penjaja dan peniagaan untuk meninggi taraf hidup bagi ahli-ahlinya serta mencegah dari kemiskinan dan kemelaratan.

2.3.     Mengadakan pakatan kebajikan serta mengutip derma-derma bagi membantu sama-sama ahli atau keluarga ahli-ahlinya selain daripada menyertai Takaful keluarga berkumpulan

2.4.    Persatuan ini hendaklah menjadi ahli "Gabungan Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Malaysia".

FASAL – 3.     Penaung dan Penasihat

3.1.        Persatuan ini mestilah mempunyai tidak lebih dari dua (2) orang penaung dan perlantikan mestilah dipersetujui oleh Mesyuarat Agung Perwakilan.

FASAL – 4.     Keahlian

4.2.        Ada pun ahli-ahli persatuan ini terdiri daripada penjaja-penjaja dan peniaga-peniaga kecil dan tuan punya syarikat-syarikat kecil yang berdaftar dengan pendaftar perniagaan (Registrar Of Business) serta modalnya di bawah RM 50,000.00 (Lima Puluh Ribu Ringgit) tidaklah termasuk syarikat yang berdaftar dengan pendaftaran syarikat (Registrar Of Companies). Mereka itu mestilah berumur lebih dari 18 tahun, lelaki atau perempuan dan membuat perniagaan di dalam Negeri Sembilan, dengan syarat menjadi ahli seperti berikut : -

4.1.1    Ahli Biasa: Yang berhak mengundi dan mestilah dari orang-orang yang berketurunan Melayu sahaja, mengikut perkara 160 Perlembagaan Malaysia yang mawakili kewarganegara Malaysia.

4.1.2    Ahli Bersekutu: Yang berhak mengundi dan mestilah terdiri daripada semua kaum selain daripada orang-orang Melayu, tetapi mestilah memiliki kewarganegaraan Malaysia, mereka yang bukan warganegara Malaysia tetapi memegang Kad Pengenalan Malaysia boleh dipelawa menjadi ahli dan tidak boleh mengundi dan diundi.

4.3.        Ahli-ahli kehormat yang dilantik oleh Jawatankuasa Pusat terdiri daripada semua kaum yang telah banyak memberi jasa-jasa dan sokongan-sokongan, bantuan-bantuan dan tunjuk ajar dan tidak dikenakan bayaran yuran bulanan dan ahli-ahli ini adalah tidak berhak mengundi dan mestilah mempunyai Kewarganegaraan Malaysia.
                                         
4.4.        Seorang ahli yang telah berhenti, terpecat atau dipecat atau disabitkan kesalahan atas Perlembagaan Fasal 9 (Perkara 9.5), daripada menjadi ahli persatuan ini dan hilanglah segala hak dan kepunyaan di dalam Persatuan ini.

4.5.        Jawatankuasa Cawangan berhak menolak sebarang permohonan masuk menjadi ahli Persatuan ini tanpa memberi sebab. Segala keputusan yang diputuskan oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa Cawangan adalah muktamad.

FASAL – 5.     Bayaran Masuk, Yuran-Yuran dan Lain-Lain Bayaran

5.1.        Bayaran masuk dan yuran mesti dibayar adalah seperti berikut:-

Ahli Biasa                                    Ali Bersekutu
Bayaran Masuk    :  RM 15.00     Bayaran Masuk    :     RM 24.00
Yuran Bulanan      :  RM   1.00     Yuran Bulanan      :     RM   2.00

5.2.        Tiap-tiap bulan pembayaran hendaklah diberikan kepada Bendahari Cawangan atau kepada Setiausaha Pusat jika cawangan belum ditubuhkan.

5.3.        Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua (2) bulan akan menerima surat ingatan yang ditandatangani oleh atau wakil Setiausaha atau Setiausaha Cawangan, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dibayar.

5.4.        Ahli yang membiarkan yurannya lebih daripada jumlah yuran bagi tiga bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi Ahli Persatuan dan Jawatankuasa Pusat boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya, dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

5.5.        Jawatankuasa Pusat sahaja mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang atau sebab lain-lain hal bersangkutan dengan Perlembagaan ini.

5.6.        Yuran-yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dijalankan dengan persetujuan Mesyuarat Agung Perwakilan Persatuan, sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut di dalam masa yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti yuran bulanan.

FASAL – 6.     Keberhentian

6.1.        Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Cawangan dan membayar segala hutang-hutangnya.

FASAL – 7.     Pemecatan Dari Menjadi Ahli

7.1.      Seorang ahli Persatuan ini boleh dipecat dari menjadi ahli sekiranya didapati melanggar peraturan-peraturan atau melakukan penyelewengan/salah guna kuasa atau tidak mematuhi Perlembagaan Persatuan ini dan pemecatan ini hendaklah diluluskan melalui mesyuarat ahli-ahli Jawatankuasa Pusat.

FASAL – 8.     Mesyuarat Perwakilan

8.1          Bagi undang-undang ini, seorang "Ahli Terus" maknanya seorang ahli Persatuan yang mendaftar terus kepada Pusat dan tidak menjadi ahli mana-mana Cawangan. Ia dilantik terus oleh YDP Pusat.  Ahli Terus berkelayakan menjadi perwakilan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dengan syarat dipersetujui oleh Jawatankuasa Pusat. "Wakil Ahli" maknanya seorang wakil daripada Ahli Terus yang diberi mandat oleh YDP Pusat melalui Mesyuarat ahli Jawatankuasa Pusat.

8.2.        Pentadbiran Persatuan ini terserah kepada Mesyuarat Perwakilan yang mengandungi wakil-wakil Cawangan dan wakil-wakil ahli Jawatankuasa Pusat. Sebarang ahli Persatuan dengan persetujuan Yang DiPertua boleh hadir di dalam Mesyuarat Perwakilan tetapi ia tidak boleh bercakap atau mengundi.

8.3.        Wakil-wakil cawangan hendaklah dilantik tiap-tiap tahun oleh Cawangan masing-masing dan mereka boleh dilantik semula. Sesuatu cawangan berhak melantik seorang wakil bagi dua puluh ahli biasa yang pertama atau sebahagian daripada jumlah itu dan seorang wakil lagi bagi tiap-tiap ahli biasa lebih daripada dua puluh ahli biasa yang pertama dengan syarat jumlah wakil-wakil bagi sesuatu Cawangan tidak lebih daripada tujuh orang.

8.4.        Wakil-wakil ahli hendaklah dilantik tiap-tiap tahun oleh ahli-ahli terus dan mereka boleh dilantik bagi dua puluh ahli biasa yang pertama atau sebahagiannya dan tambah seorang wakil bagi dua puluh ahli biasa yang pertama dengan syarat jumlah wakil ahli-ahli tidak lebih daripada tujuh orang.

8.5.        Ahli Jawatankuasa Pusat tidak boleh dilantik menjadi wakil Cawangan atau ahli dan terkecuali bagi memberi undi pemutus oleh Yang DiPertua atau Naib Yang DiPertua sebagai Pengerusi, hanya wakil-wakil sahaja yang boleh mengundi di dalam Mesyuarat Perwakilan.

8.6.        Korum untuk mesyuarat dianggap cukup jika wakil-wakil yang hadir, tidak kira jumlahnya, berjumlah lebih daripada jumlah wakil-wakil bagi sesetengah bilangan Cawangan dan lebih daripada setengah jumlah ahli-ahli terus Persatuan.

8.7.      Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 14 hari) yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang telah ditangguhkan itu, maka berkuasalah wakil-wakil yang hadir menjalankan mesyuarat bagi hari itu tetapi tidak berkuasa mengubah undang-undang Persatuan membuat keputusan mengenai semua ahli-ahli.
8.8.        Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan-Perwakilan bagi Persatuan hendaklah diadakan secepat mungkin setelah akhir tahun kewangan, pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat. Kerja-kerja mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan-Perwakilan ialah:-

8.8.1         Menerima laporan Jawatankuasa Pusat berkenaan kerja-kerja Persatuan di dalam tahun yang lalu.

8.8.2         Menerima laporan Bendahari dan Penyata Wang yang telah diodit bagi tahun yang lalu.

8.8.3         Melantik tiga tahun sekali ahli-ahli Jawatankuasa Pusat dan Pemeriksa Kira-Kira untuk tahun yang akan datang.

8.8.4         Menguruskan lain-lain perkara yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

8.9.        Pengumuman awal kerana Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan yang menerangkan tarikh, waktu dan tempat dan panggilan untuk memberi cadangan yang hendak dibicarakan, cadangan-cadangan untuk meminda undang-undang dan pencalonan-pencalonan untuk pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat hendaklah dikirimkan oleh Setiausaha kepada tiap-tiap Setiausaha Cawangan tidak lewat daripada 40 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat dan pengumuman ini hendaklah ditujukan supaya jelas kelihatan di Pejabat Persatuan yang telah didaftarkan. Tiap-tiap Setiausaha Cawangan hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Cawangan tidak lewat daripada 14 hari setelah menerima pengumuman awal itu.

8.10.      Nama wakil-wakil, pencalonan-pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai dan cadangan-cadangan untuk dirundingkan di dalam mesyuarat hendaklah di hantar oleh Setiausaha Cawangan atau ahli-ahli persendirian supaya sampai kepada Setiausaha Pusat tidak lewat daripada 20 hari selepas penerimaan pengumuman mesyuarat. Dan mereka ini mestilah telah melangsaikan segala urusan dan hutang-hutang kepada Pusat.

8.11.      Setiausaha hendaklah mengadakan mesyuarat ahli-ahli terus tidak kurang daripada 25 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk Mesyuarat Perwakilan kerana melantik wakil-wakil.

8.12.      Setiausaha hendaklah menghantarkan kepada Setiausaha Cawangan sekurang-kurangnya 10 hari sebelum diadakan Mesyuarat satu agenda (aturcara mesyuarat) termasuk salinan-salinan peringatan mesyuarat dan laporan-laporan cadangan dan pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai berserta dengan penyata kira-kira Persatuan tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini hendaklah diberikan kepada tiap-tiap wakil cawangan dan wakil ahli-ahli dan salinan surat itu boleh diperolehi untuk dibaca oleh ahli-ahli dan alamat berdaftar Persatuan itu Pejabat Cawangan.

8.13.      Mesyuarat Agung Khas Perwakilan bagi Persatuan ini boleh diadakan:-

8.13.1. Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Pusat

8.13.2.     Atas permintaan bertulis oleh ahli-ahli Jawatankuasa bagi tiga Cawangan atau lebih.

8.14.      Mesyuarat Agung Khas Perwakilan yang diminta oleh Cawangan-Cawangan hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

8.15.      Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas Perwakilan itu hendaklah diedarkan kepada semua Setiausaha Cawangan oleh Setiausaha Pusat sekurang-kurangnya 15 hari sebelum bermesyuarat.

8.16.      Fasal (f) dan (g) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas Perwakilan, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas Persatuan itu atas permintaan cawangan-cawangan maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan sekurang-kurangnya 6 bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Agung Khas Perwakilan yang dipohonkan dengan tujuan yang sama, tidak boleh diadakan.

8.17.      Setiausaha hendaklah menghantarkan kepada semua Setiausaha Cawangan salinan rangka peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan yang dipohonkan dengan seberapa segera selesainya mesyuarat itu.

FASAL – 9.     Jawatankuasa Pusat

9.1.        Satu Jawatankuasa Pusat seperti berikut yang dinamakan Pegawai-Pegawai Persatuan hendaklah dilantik :-

9.1.1      Di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan  tiap-tiap 3 tahun sekali,
(a) Seorang Yang DiPertua,
(b) Seorang Naib Yang DiPertua,
(c) 9 Ahli-Ahli Jawatankuasa Biasa.

9.1.2      Dilantik oleh yang Di Pertua Persatuan dengan persetujuan Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat.

(a) Seorang Setiausaha,
(b) Seorang Penolong Setiausaha
(c) Seorang Bendahari,
(d) 5 Ahli-Ahli Jawatankuasa Biasa.

9.2.        Nama untuk jawatan-jawatan di atas seperti 9.1 hendaklah dicadang, disokong dan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli Mesyuarat Agung Perwakilan. Semua pegawai-pegawai Persatuan boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

9.3.        Pekerjaan Jawatankuasa Pusat ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan dengan tidak terkeluar dari dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Perwakilan. Jawatankuasa Pusat seharusnya tidaklah boleh membuat tindakan bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung Perwakilan-Perwakilan dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengan Jawatankuasa Pusat mestilah taat kepada keputusan Mesyuarat Agung Perwakilan-Perwakilan. Jawatankuasa Pusat hendaklah memberi laporannya berkenaan kegiatan-kegiatan di dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan.

9.4.        Jawatankuasa Pusat hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan dan 7 hari pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli. Yang DiPertua dengan bersendirian atau tidak daripada 3 orang ahli Jawatankuasa Pusat bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

9.5.        Ahli Jawatankuasa Pusat yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa 3 kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

9.6.        Jika seorang Ahli Jawatankuasa Pusat meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa Pusat melantik lain ahli Persatuan memenuhkan kekosongan itu, sehingga Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan diadakan.

9.7.        Jawatankuasa Pusat boleh memberi perintah kepada Setiausaha dan lain-lain pegawai untuk menjalankan urusan-urusan Persatuan. Ia boleh melantik pengurus-pengurus dan kakitangan yang difikirkan mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, ingkar menjalankan keputusan Jawatankuasa Pusat atau kurang sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

9.8.        Ia boleh memberi perintah kepada Pengamanah berkenaan kegunaan atau penjualan harta Persatuan yang tetap.

9.9.        Di antara Mesyuarat-mesyuarat Agung Perwakilan-Perwakilan, Jawatankuasa Pusat boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan bila mustahak memutuskan perkara-perkara yang tidak tersebut di dalam undang-undang ini.

9.10.      Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah di buat di dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa Pusat terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika atau sehingga tiada dirombak oleh keputusan Mesyuarat Agung Perwakilan-Perwakilan.

9.11.      Jawatankuasa Pusat akan berkuasa melantik beberapa Jawatankuasa kecil tetap atau khas bagi mengelolakan kesemua perkara-perkara yang mengenai muslihat dan kebajikan kesemua ahli Persatuan ini, atau khas bagi mewujudkan biro ekonomi. Yang DiPertua menurut haknya akan menjadi Pengerusi semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil yang dilantik itu.

FASAL – 10.   Kewajiban-Kewajiban Pegawai

10.1.      Yang DiPertua dalam masa jawatannya hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek-cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha atau Bendahari. Yang DiPertua sahaja dibenarkan membuat sebarang siaran akhbar berkenaan kegiatan-kegiatan Persatuan atau wakilnya setelah mendapat persetujuan Yang DiPertua.

10.2.      Naib Yang DiPertua hendaklah memangku jawatan Yang DiPertua semasa ketiadaannya.

10.3.      Setiausaha hendaklah menjalankan tugas-tugas Persatuan mengikuti undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung Perwakilan dan Jawatankuasa Pusat ia bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat-menyurat dan menyimpan semua buku-buku, surat-surat dan kertas-kertas kecuali kira-kira dan buku-buku kewangan. Ia hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan membuat catatan-catatan. Ia hendaklah manandatangani semua cek-cek Persatuan bersama-sama Yang DiPertua dan Bendahari.

10.4.      Naib Setiausaha hendaklah memangku jawatan setiausaha semasa ketiadaannya.

10.5.      Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan atas semua perkara kewangan dan bertanggungjawab atas kebetulannya. Ia hendaklah membentang Penyata Kewangan bagi setiap bulan kepada Yang DiPertua dan Setiausaha.

FASAL – 11.   Kewangan

11.1.      Disyaratkan kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi undang-undang ini, wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah perbelanjaan pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawaipegawai dan kakitangan yang bergaji dan upah memeriksa kira-kira, tetapi walaubagaimanapun tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukum di mahkamah.

11.2.    Bendahari dibolehkan menyimpan wang runcit tidak lebih dari pada RM 100.00 ( Satu Ratus Ringgit ) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukan di dalam masa 7 hari ke dalam bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Pusat. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama persatuan.
11.3.      Segala cek-cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang DiPertua, (atas ketiadaannya oleh Naib Yang DiPertua), Setiausaha dan Bendahari. Kerana ketiadaan Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa Pusat melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menurunkan tandatangan.

11.4.      Perbelanjaan yang lebih daripada lima puluh ringgit bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Yang DiPertua, dan perbelanjaan yang lebih daripada tiga ribu ringgit bagi sebulan tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung Perwakilan terlebih dahulu.

11.5.      Penyata dari hal wang yang diterima dan dibelanjakan beserta timbangan kira-kira dari setahun hendaklah disediakan terlebih dahulu dan diperiksa oleh Juruaudit mengikut undang-undang dua belas dengan seberapa segera setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan dan salinannya hendaklah diperolehi untuk makluman ahli dari alamat Persatuan yang berdaftar dan dari pejabat tiap-tiap cawangan.

11.6.      Tahun kewangan Persatuan ini dan Cawangan-cawangannya hendaklah bermula pada 1hb.Januari dan berakhir pada 31hb.Disember.

FASAL – 12.   Pemeriksa Kira-Kira

12.1.      Satu orang atau lebih yang bukannya pegawai-pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Perwakilan sebagai pemeriksa kira-kira kehormat. Mereka akan memegang jawatan selama setahun dan tidak boleh dilantik semula.

12.2.      Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan dan Cawangan-Cawangan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Perwakilan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Cawangan-Cawangan. Mereka harus juga dikehendaki bila-bila masa oleh Yang DiPertua memeriksa kira-kira Persatuan atau Cawangan bagi bila-bila masa di dalam tempoh jawatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Pusat.

FASAL – 13.   Pengamanah

13.1.      Tiga orang pengamanah seorang daripadanya mestilah Yang DiPertua sendiri dan yang dua lagi sesiapa di antara ahli-ahli yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan dan mereka berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan, kepada mereka akan diamanahkan semua harta tetap kepunyaan Persatuan dan mereka akan menguruskan harta tetap kepunyaan Persatuan dan mereka akan menguruskan harta itu mengikut cara yang diperintahkan oleh Jawatankuasa Pusat.

13.2.      Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau menukarkan harta kepunyaan Persatuan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Perwakilan-Perwakilan.

13.3.      Seorang pengamanah boleh dilucutkan jawatannya oleh Mesyuarat Agung Perwakilan oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain sebab yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugas atau pekerjaannya tidak memuaskan, jika berlaku kematian, letak jawatan atau pembuangan bagi seseorang pengamanah sebelum Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Jawatankuasa Pusat sehingga pengamanah yang baru dilantik dalam Mesyuarat Agung Perwakilan.

FASAL – 14.   Pembubaran

14.1.      Sekiranya Persatuan ini hendak dibubarkan maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui di dalam Mesyuarat Agung Perwakilan.

14.2.      Persatuan ini hanya boleh dibubarkan di dalam satu Mesyuarat Agung Perwakilan Khas dengan persetujuan tidak kurang dari empat per-lima jumlah semua ahli-ahli biasa di tiap-tiap cawangan dan selepas itu persetujuan dari empat per-lima semua ahli-ahli Perwakilan ke Mesyuarat Agung Perwakilan Khas.

FASAL – 15.   Penubuhan dan Pembubaran Cawangan-Cawangan

15.1.      Jawatankuasa Pusat boleh membenarkan penubuhan cawangan daerah yang mempunyai sekurang-kurangnya 20 ahli biasa Persatuan.

15.2.      Jawatankuasa Pusat boleh membubarkan cawangan:-

15.2.1.     Jika bilangan ahli-ahli biasa di dalam masa enam                                      bulan berturut-turut kurang daripada 20 orang atau

15.2.2.     Jika cawangan tidak patuh kepada undang-undang Persatuan atau keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat atau perwakilan atau jika difikirkan bersalah oleh Jawatankuasa Pusat kerana perbuatan yang merosakkan Persatuan.

15.3.      Keputusan membubarkan cawangan hendaklah dengan undi terbanyak di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat dengan syarat sebelum diambil keputusan membubarkan cawangan dengan sebab yang disebutkan di dalam perenggan 15.2 (15.2.2) di atas, cawangan yang berkenaan hendaklah diberi satu kenyataan 30 hari terlebih dahulu dan diberi peluang untuk menjawab tuduhan.

15.4.      Perintah pembubaran hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Cawangan tidak boleh dijalankan mulai dari tarikh penerimaan perintah kecuali kerana urusan berkenaan pembubaran sebarang cawangan yang musykil atas perintah pembubaran, dengan kenyataan bertulis kepada Setiausaha di dalam tempoh 30 hari daripada penerimaan perintah, membuat rayuan kepada Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan-Perwakilan. Walaupun rayuan telah dibuat namun perintah pembubaran masih berjalan kuasanya sehingga dibatalkan tetapi di dalam keadaan yang demikian Jawatankuasa Pusat boleh melantik satu Jawatankuasa Pengurus dari ahli-ahli untuk menguruskan hal-hal cawangan-cawangan itu sementara rayuan dipertimbangkan.

15.5.      Jika sesuatu cawangan ditutup kerana sebab yang disebutkan pada Fasal 15.2 (1) aturan ini maka Jawatankuasa Pusat hendaklah memindahkan ahli-ahli yang ada kepada cawangan yang hampir sekali dan jika cawangan ditutup kerana sebab di dalam Fasal 15.2 (2) aturan ini maka ahli-ahli akan terhenti daripada menjadi ahli Persatuan.

15.6.      Adalah menjadi tanggungan kepada Pengerusi Cawangan, Setiausaha dan Bendahari bagi cawangan itu menyerahkan kepada Setiausaha Pusat segala buku-buku, rekod-rekod, wang dan lain-lain harta yang dimiliki oleh cawangan beserta dengan satu keterangan kira-kira cawangan mulai daripada tarikh akhir penyata itu dihantarkan sehingga tarikh perintah penutupan.

15.7.      Jika ahli-ahli sesuatu cawangan hendak keluar dari Persatuan, maka pegawai-pegawai Cawangan itu dengan serta-merta mestilah menyerahkan kepada Setiausaha Pusat semua buku-buku, rekod-rekod, wang dan lain-lain harta Persatuan dan seterusnya menyedia dan menyerahkan keterangan kira-kira kepada Setiausaha Pusat seperti di dalam fasal 15.6 di atas ini.

FASAL – 16.   Mesyuarat Agung Cawangan

16.1.      Tiap-tiap ahli biasa cawangan mestilah menjelaskan yuran dan telah disahkan oleh Pusat barulah berhak menghadiri, bercakap, mengundi dan dilantik menjadi wakil dalam sebarang Mesyuarat Agung Cawangan.

16.2.      Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan akan diadakan tidak lewat dari 14 hari selepas menerima pemberitahu yang awal mengenai Persidangan Perwakilan Tahunan, supaya memberitahu mengenai masa, tarikh dan salinan-salinan agenda dan penyata kira-kira akan diberi kepada ahli-ahli tidak kurang dari 10 hari sebelum mesyuarat diadakan.

16.3.      Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan ialah untuk :-

16.3.1.     Menerima laporan bendahari cawangan dan kira-kira cawangan yang diaudit bagi tahun lepas.

16.3.2.     Melantik Wakil-wakil ke persidangan perwakilan untuk tahun hadapan.

16.3.3.     Melantik Jawatankuasa Cawangan dan pemeriksa kira-kira pada tahun hadapan.

16.3.4.     Membincang perkara lain yang telah di bentangkan kepadanya.

16.4.      Suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa boleh diadakan :-

16.4.1.     Atas perintah Jawatankuasa Pusat atau

16.4.2.     Apabila jawatankuasa cawangan fikirkan mustahak atau

16.4.3.     Atas Permintaan bertulis daripada tidak kurang dari setengah ahli-ahli cawangan dengan menyatakan tujuan dan sebab diadakan mesyuarat itu.

16.5.      Satu Mesyuarat Agung Luar Biasa Cawangan diadakan atas permintaan ahli-ahli akan diadakan tidak lewat dari 15 hari selepas diterima permintaan tersebut.

16.6.      Sekurang-kurangnya 1/2 daripada jumlah ahli-ahli biasa Cawangan mesti hadir di dalam sesuatu Mesyuarat Agung untuk mengesahkan perjalanannya.

FASAL – 17.   Jawatankuasa Cawangan

17.1.    Suatu Jawatankuasa Cawangan seperti berikut yang akan dikenali sebagai pemegang Jawatan Cawangan akan dilantik pada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan :-

(a)     Seorang Pengerusi Cawangan
(b)     Seorang Timbalan Pengerusi Cawangan
(c)     7 orang Ahli-ahli Jawatankuasa Biasa

17.2.       Pengerusi Cawangan diberi kuasa melantik :-

(a)       Seorang Setiausaha Cawangan
(b)       Seorang Penolong Setiausaha Cawangan
(c)       Seorang Bendahari Cawangan
(d)       5 Orang Ahli Jawatankuasa Biasa

17.3.      Nama-nama untuk jawatan-jawatan yang tersebut hendaklah dicadang dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan. Semua pegawai-pegawai kecuali Bendahari boleh dilantik semula pada tiap-tiap tahun.

17.4.      Pekerjaan Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian cawangan mengikut undang-undang Persatuan dan arahan-arahan Jawatankuasa Pusat dan Persidangan Perwakilan. Jawatankuasa Cawangan hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 3 bulan dan adalah cukup bilangan jika 1/2 daripada ahli-ahlinya hadir. Setiausaha Cawangan akan memberi satu salinan-salinan peringatan tiap-tiap mesyuarat kepada Setiausaha Pusat tidak lewat daripada 7 hari selepas mesyuarat itu diadakan.

FASAL – 18.   Tugas-Tugas Pegawai Cawangan

18.1.      Pengerusi Cawangan dalam masa jawatannya akan menjadi pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas semua kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan akan menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek-cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha atau Bendahari.

18.2.      Timbalan Pengerusi Cawangan akan memangku jawatan Pengerusi Cawangan semasa ketiadaannya.

18.3.      Setiausaha hendaklah menjalankan kerja-kerja Persatuan dengan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat-menyurat dan menyimpan semua buku-buku, surat-surat dan kertas-kertas kecuali kira-kira dan buku kewangan. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan. Ia hendaklah menandatangani semua cek-cek Persatuan bersama-sama dengan Pengerusi Cawangan dan Bendahari.

18.4.      Penolong Setiausaha akan memangku jawatan Setiausaha semasa ketiadaanya.

18.5.      Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal-hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas kebetulannya. Segala berkenaan kewangan hendaklah dirujuk kepada Yang DiPertua untuk kelulusan.

FASAL – 19.   Kewangan Cawangan

19.1.      Semua wang yang dikutip di Ibu Pejabat dan di Cawangan-Cawangan Persatuan akan menjadi kepunyaan bersama Persatuan.

19.2.      Bayaran masuk menjadi ahli sebanyak RM 15.00 tiap-tiap seorang itu menjadi hak Persatuan Pusat dan Bendahari Cawangan hendaklah menyerahkan kepada Bendahari Pusat pada tiap-tiap bulan.

19.3.      Enam Puluh Lima Peratus (65%) dari yuran akan disimpan di cawangan sebagai kumpulan wang cawangan.
                   
19.4.      Tiap-tiap Bendahari Cawangan juga akan menyampaikan kepada Bendahari Persatuan sebelum 15hb. Tiap-tiap bulan yuran-yuran yang lebih dari jumlah peratusnya yang disimpan sebagai kumpulan wang cawangan.

19.5.      Bendahari Cawangan juga akan menyampaikan kepada Bendahari Persatuan sebelum 15hb tiap-tiap bulan satu penyata pendapatan dan perbelanjaan cawangan-cawangan bagi bulan lepas.

19.6.      Semua wang Cawangan hendaklah disimpan di dalam nama Cawangan dalam bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Pusat dan kira-kira wang itu akan dikelolakan bersama-sama oleh Pengerusi Cawangan, Setiausaha Cawangan dan Bendahari Cawangan. Bendahari Cawangan dibenarkan menyimpan wang di dalam tangan tidak lebih daripada RM 200.00 pada sesuatu masa. Perbelanjaan yang melebihi RM 50.00 pada suatu masa tidak boleh dilakukan oleh Bendahari Cawangan tanpa kebenaran diperolehi terlebih dahulu daripada Yang DiPertua Cawangan.

19.7.      Semua wang, buku-buku dan lain-lain harta Persatuan yang dipegang oleh mana-mana Cawangan yang telah dibubarkan akan dihantarkan dengan segera oleh Setiausaha Cawangan kepada Setiausaha Pusat bersama-sama dengan penyata kira-kira sebagai yang diterangkan diperenggan (6) dan (7) bagi undang-undang 15.

FASAL – 20.   Peruntukan-Peruntukan Umum Mengenai Cawangan

20.1.      Di mana peruntukan khas tidak disebut di dalam undang-undang ini bagi perkara-perkara yang berhubung dengan pentadbiran Cawangan-Cawangan Persatuan, undang-undang yang berkenaan mengenai pentadbiran Ibu Pejabat akan diikuti sejauh mana yang sesuai.

20.2.      Mesyuarat Agung Perwakilan dan Jawatankuasa Pusat akan memberi arahan-arahan kepada Mesyuarat Agung atau Jawatankuasa Cawangan mengenai pentadbirannya.

FASAL – 21.   Pindaan Perlembagaan
21.1       Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali keputusan Mesyuarat Agung Perwakilan semua ahli-ahli Perwakilan. Perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan kepada perlembagaan ini hanya boleh dijalankan kuat kuasanya mulai daripada tarikh perubahan-perubahan dan pindaan-pindaan itu dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

FASAL – 22.   Perniagaan Dan Memiliki Harta

22.1.      Persatuan ini dibenarkan membuat sebarang perniagaan dalam bentuk Koperasi, yang boleh mendatangkan keuntungan untuk di bahagikan  kepada ahli-ahli melalui penubuhan koperasi di setiap cawangan dan Pusat.

22.2.      Persatuan ini dibenarkan membeli, mengambil atau memajak atau dengan lain-lain jalan memiliki sebarang tanah, bangunan, rumah atau lain-lain harta tetap sebagaimana yang dikehendaki atau yang difikirkan mustahak bagi tujuan Persatuan ini.

22.3.      Persatuan ini di benarkan membeli, memiliki dan menjual saham-saham seperti ASB, saham-saham kerajaan ( Bilt-Edge-Shares) atau saham yang didagangkan di dalam Pasaran Saham Malaysia.

22.4.      Semua faedah-faedah atau hasil-hasil penanaman modal 22.1, 22.2, dan 22.3  di atas adalah menjadi kepunyaan Persatuan ini.

FASAL – 23.   Larangan

23.1.      Dilarang membuat semua kesalahan di dalam rumah atau Pejabat Persatuan.

23.2.    Dilarang membuat atau mengadakan sebarang perjudian di dalam rumah atau Pejabat Persatuan.

23.3.      Persatuan atau ahli-ahlinya tidak boleh mengambil peranan di dalam kesatuan sekerja seperti yang diterangkan di dalam undang-undang  Kesatuan Sekerja 1959.

23.4.      Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawainya atau Jawatankuasa atau ahli.

23.5.      Persatuan ini tidak boleh mempunyai apa-apa perhubungan atau penggabungan di Luar Malaysia.

23.6.      Semua Ahli Jawatankuasa Persatuan dan Cawangan serta tiap-tiap pegawai lain yang menjalankan tugas-tugas pemerintah di dalam persatuan dan cawangannya hendaklah warganegara Malaysia.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
*
*
*
*
*
contact form faq verification image

PPPKMNS form generated by Tajol Ariffin